Rabu, 5 Mei 2010

WRIT PENYITAAN DAN PENJUALAN KAEDAH-KAEDAH MAHKAMAH RENDAH 1980

ATURAN 32




KAEDAH-KAEDAH MAHKAMAH RENDAH 1980



WRIT PENYITAAN DAN PENJUALAN



1. Kuasa untuk menggantung pelaksanaan melalui writ penyitaan dan penjualan.



(1) Jika sesuatu penghakiman diberikan atau sesuatu perintah dibuat bagi pembayaran wang oleh mana-mana orang, dan Mahkamah berpuas hati, atas suatu permohonan yang dibuat pada masa penghakiman atau perintah itu, atau pada bila-bila masa selepas itu, oleh penghutang penghakiman atau pihak lain yang dikenakan pelaksanaan maka, walau apa pun apa-apa jua dalam kaedah 4 atau 5, Mahkamah boleh melalui perintah menggantungkan pelaksanaan penghakiman atau perintah itu melalui writ penyitaan dan penjualan sama ada secara mutlak atau bagi apa-apa tempoh dan tertakluk kepada apa-apa syarat sebagaimana yang difikirkan patut oleh Mahkamah.



(2) Sesuatu permohonan di bawah kaedah ini, jika tidak dibuat pada masa penghakiman diberikan atau perintah dibuat, mestilah dibuat melalui notis dan bolehlah dibuat sedemikian walaupun bahawa pihak yang dikenakan pelaksanaan tidak hadir pada hari kembalian.



(3) Sesuatu permohonan yang dibuat melalui notis mestilah disokong dengan suatu affidavit yang dibuat oleh atau bagi pihak pemohon dengan menyatakan alasan-alasan permohonan itu dibuat dan keterangan yang perlu bagi membuktikannya dan, khususnya, jika permohonan sedemikian dibuat atas alasan-alasan ketakupayaan pemohon untuk membayar, dengan mendedahkan pendapatannya, jenis dan nilai apa-apa hartanya dan amaun apa-apa liabilitinya yang lain.



(4) Notis itu dan suatu salinan afidavit menyokongnya mestilah disampaikan kepada pihak yang berhak untuk menguatkuasakan penghakiman atau perintah itu.



(5) Sesuatu perintah menggantungkan pelaksanaan di bawah kaedah ini bolehlah diubah atau dibatalkan melalui perintah yang kemudiannya.



2. Pembayaran secara ansuran.



(1) Jika penghakiman diberikan atau suatu perintah dibuat bagi pembayaran secara ansuran, maka ansuran itu hendaklah, melainkan jika diperintahkan selainnya oleh Mahkamah, dibayar kedalam Mahkamah pada suatu hari sebagaimana yang diarahkan oleh penghakiman atau perintah itu kepada kredit orang yang berhak menguatkuasakan penghakiman atau perintah itu dan suatu arahan yang bermaksud sedemikian mestilah disebutkan dalam penghakiman atau perintah itu.



(2) Suatu salinan apa-apa penghakiman atau perintah bagi pembayaran secara ansuran mestilah disampaikan kepada orang yang bertanggungan membayar, dan orang itu mestilah mengemukakannya kepada pegawai yang berkenaan di Pejabat Pendaftaran bilamasa dia membayar wang kedalam Mahkamah.



(3) Jika tiada hari pembayaran yang ditetapkan oleh Mahkamah, ansuran pertama hendaklah dibayar pada hari pertama dalam bulan yang berikutan dari tarikh penghakiman atau perintah itu, dan tiap-tiap ansuran turutannya hendaklah dibayar pada hari pertama dalam setiap bulan yang berturutan.






3. Permohonan minta perintah ansuran yang baru.






(1) Jika suatu penghakiman diberikan atau suatu perintah dibuat bagi pembayaran apa-apa wang, secara ansuran atau selainnya, mana-mana pihak dalam penghakiman atau perintah itu boleh memohon kepada Mahkamah melalui notis yang disokong dengan suatu afidavit dalam Borang 87 minta suatu perintah yang menyatakan bahawa wang yang belum dibayar ke atas penghakiman atau perintah itu hendaklah dibayar secara pukal, atau ansuran yang lebih kecil atau lebih besar daripada ansuran yang diperintahkan terdahulu.






(2) Notis permohonan itu mestilah disampaikan kepada pihak yang satu lagi dalam penghakiman atau perintah itu.






(3) Mahkamah yang mendengar permohonan itu boleh, sebagaimana yang difikirkannya adil, memerintahkan bahawa wang yang belum dibayar ke atas penghakiman atau perintah itu dibayar secara pukal atau membuat suatu perintah baru bagi pembayaran ansuran.



(4) Suatu perintah yang dibuat di bawah perenggan (3) mestilah dalam Borang 88 dan mestilah disampaikan oleh pemohon kepada pihak yang satu lagi.



4. Writ-writ berasingan bagi menguatkuasakan pembayaran kos, dan sebagainya.



(1) Jika hanya pembayaran wang, berserta dengan kos, dihakimkan atau diperintahkan, maka, jika semasa wang itu menjadi kena dibayar menurut penghakiman atau perintah itu kos belum lagi dibayar, pihak yang berhak menguatkuasakan penghakiman atau perintah itu boleh mengeluarkan suatu writ penyutaan dan penjualan untuk menguatkuasakan penghakiman atau perintah itu dan, tidak kurang daripada 7 hari selepas pengeluaran writ itu, dia boleh mengeluarkan writ kedua untuk menguatkuasakan pembayaran kos itu.



(2) Sesuatu pihak yang berhak menguatkuasakan penghakiman atau perintah bagi penghantarserahan milikan mana-mana harta (selain daripada wang) boleh, jika dia memilih sedemikian, mengeluarkan suatu writ penyitaan dan penjualan yang berasingan untuk menguatkuasakan pembayaran apa-apa ganti rugi atau kos yang diawardkan kepadanya penghakiman atau perintah itu.



5. Jika tuan tanah menuntut tunggakan sewa premis sekiranya harta disita.



(1) Jika tuan tanah atau mana-mana orang lain yang berhak menerima sewa bagi premis yang apa-apa harta alih di dalamnya telah disita oleh bailif mempunyai apa-apa tuntutan kerana tunggakkan sewa bagi premis itu, maka dia boleh memohon kepada Mahkamah, pada bila-bila masa sebelum penjualan harta itu, bagi suatu writ distres untuk mendapatkan tunggakan sewa sedemikian.



(2) Apabila sesuatu writ distress telah dikeluarkan peruntukan-peruntukan seksyen 20 Akta Distres hendaklah terpakai.



(3) Melainkan jika suatu writ distress dikeluarkan bagi mendapatkan tunggakan sewa sedemikian, harta yang disita oleh bailiff hendaklah disifatkan tidak boleh kena sita di bawah suatu writ distress dan hendaklah bebas daripada segala tuntutan berkenaan dengan sewa dan bolehlah diuruskan dengan sewajarnya dan tuasn tanah atau orang lain yang berhak menerima sewa seperti yang disebut terdahulu, tidaklah mempunyai tuntutan berkenaan dengan tuntutan itu atau terhadap hasil jualan atau mana-mana bahagian daripadanya.



6. Selepas penyitaan, urusniaga dengan harta adalah tak sah.



Selepas penyitaan dibuat terhadap harta alih penghutang penghakiman di bawah suatu writ penyitaan dan penjualan, dan semasa berterusannya penyitaan itu, maka, selain daripada dengan kebenaran Mahkamah, apa-apa pemberimilikan harta yang disita, sama ada melalui penjualan, alang, gadaian atau atau selainnya, adalah tak sah terhadap bailif dan mana-mana orang yang bagi pihaknya harta alih itu disita.



7. Penarikan balik dan penggantungan writ.



(1) Jika seseorang pemiutang penghakiman meminta bailif menarik balik penyitaan, maka dia hendaklah disifatkan telah mengugurkan pelaksanaan, dan bailif itu hendaklah menandakan writ penyitaan dan penjualan itu sebagai telah ditarik balik menurut permintaan pemiutang penghakiman: Dengan syarat bahawa jika permintaan dibuat berikutan dari sesuatu tuntutan telah dibuat dalam suatu pliding interplider, pelaksanaan itu hendaklah disifatkan telah digugukan hanya dengan harta yang dituntut sedemikian itu sahaja.



(2) Sesuatu writ penyitaan dan penjualan yang telah di tarik balik di bawah kaedah ini tidak boleh dikeluarkan semula tetapi pemiutang pelaksanaan boleh memohon melalui notis yang disokong oleh afidavit dengan menyatakan alasan-alasan permohonan bagi suatu writ penyitaan dan penjualan yang baru, dan writ sedemikian hendaklah diberi keutamaan mengikut tarikh pengeluarannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan