PROSES PENGUTIPAN HUTANG
(PROSEDUR PENGUTIPAN HUTANG)
Pengenalan
Tujuan Bab ini pada asasnya memberi panduan kepada mereka-mereka yang dibelengu oleh hutang akibat daripada tamak haloba kaum-kaum kapitalis mengaut keuntungan secara perundangan. Mereka menggunakan berbagai cara mempengaruh dan mendorong anda berhutang diluar kemampuan anda dan/atau anda terpengaruh dengan muslihat mereka agar anda berhutang dengan penuh kerelaan. Dengan lain kata, anda membuat perjanjian dan/atau kontrak bukan dengan penuh kerelaan dan/atau kerelaan bebas.
Oleh kerana terlalu ramai yang telah terpedaya dan kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai dan/atau kurang pengetahuan tentang undang-undang, maka mereka telah terjebak dalam kancah ini mengakibatkan mereka dan keluarga berada dalam keadaan stres, seterusnya keluarga anda dan masyarakat menjadi mangsa.
Secara amnya, anda berhutang tanpa penuh kerelaan, tetapi pada hakikatnya anda berhutang akibat tekanan atau paksaan kerana telah dipengaruhi dan didorong dan secara tidak langsung anda berhutang tanpa penuh kerelaan.
Mengikut seksyen 14 Akta Kontrak, 1950 (Akta 136), kerelaan tidak bebas jika terdapat faktor-faktor sepertimana termaktub dalam:-
1. (“Dures”) Paksaan - Seksyen 15 Akta Kontrak mentakrifkan bahawa “Paksaan” ialah melakukan apa-apa perbuatan, atau mengancam untuk melakukan apa-apa perbuatan yang dilarang oleh Kanun keseksaan, atau menahan secara tak sah atau mengancam untuk menahan, apa-apa harta, dengan memudaratkan sesiapa jua, dengan niat menyebabkan seseorang untuk membuat suatu perjanjian. Kesimpulannya, “paksaan” adalah sesuatu bentuk kekerasan atau ancaman akan melakukan kepada satu pihak dalam kontrak atau kepada ahli keluarganya atau kepada hartanya.
2. Pengaruh tak berpatutan – Seksyen 16 Akta Kontrak mentakrifkan bahawa “Pengaruh tak berpatutan” ialah:-
(1) Sesuatu kontrak adalah dikatakan didorong oleh “pengaruh tak berpatutan”, di mana pertalian di antara kedua belah pihak adalah sedemikian rupa hingga satu pihak adalah dalam kedudukan boleh menguasai kemahuan pihak yang lain dan menggunakan kedudukan itu untuk memperoleh faedah tak saksama ke atas pihak yang lain.
(2) Khususnya dan tanpa menyentuh keluasan prinsip yang tersebut di atas, seseorang boleh dianggap berada dalam kedudukan menguasai kemahuan seorang yang lain:-
(a)
di mana ia memegang kuasa benar atau kuasa zahir keatas orang lain itu, atau di mana ia berada dalam perkaitan amanah dengan orang lain itu; atau
(b)
di mana ia membuat suatu kontrak dengan seorang yang keupayaan akalnya adalah terjejas oleh sebab usia, penyakit, atau penderitaan akal atau jasmani, sama ada sementara atau berkekalan.
Di mana seorang yang berada dalam kedudukan untuk menguasai kemahuan seorang yang lain, membuat kontrak dengannya, dan ternyata bahawa urusan itu tak patut, sama ada pada zahirnya atau atas keterangan yang dibuktikan, maka beban membuktikan bahawa kontrak sedemikian itu tidak didorong oleh pengaruh tak berpatutan hendaklah diletakkan ke atas orang yang berada dalam kedudukan untuk menguasai kemahuan orang lain itu.
Tiada sesuatu yang tersebut dalam seksyen kecil ini boleh menyentuh peruntukan-peruntukan seksyen 111 Akta Keterangan 1950. “Pengaruh tak berpatutan” wujud apabila perhubungan pihak-pihak di dalam sesuatu kontrak itu tidak diasaskan kepada kesamarataan iaitu, satu pihak menguasai pihak yang satu lagi.
3. (“Fraud”) Frod – Seksyen 17 Akta Kontrak mentakrifkan bahawa “Frod” termasuklah mana-mana perbuatan yang berikut yang dilakukan oleh suatu pihak yang membuat kontrak, atau dengan pembiarannya, atau oleh ejennya, dengan niat untuik memperdaya pihak lain yang berkontrak atau ejennya, atau mendorong pihak yang lain itu untuk membuat kontrak:-
(a)
mengenai suatu fakta, menyarankan sesuatu yang tidak benar oleh seseorang yang tidak mempercayai bahawa sesuatu itu benar;
(b)
menyembunyikan secara aktif sesuatu fakta oleh seseorang yang mengetahui atau mempercayai fakta itu;
(c)
membuat janji tanpa apa-apa niat untuk menepati janji itu;
(d)
mana-mana perbuatan lain yang padan untuk memperdayai;
(e)
mana-mana poerbuatan atau ketingalan sedemikian yang khususnya ditetapkan oleh undang-undang sebagai frod. Huraian – Semata-mata membisu mengenai fakta-fakta yang boleh jadi melibatkan kesediaannya seorang membuat kontrak bukanlah frod melainkan jika kedudukan perkara itu adalah sedemikian hingga, jika kedudukan perkara itu dipertimbangkan, adalah menjadi kewajipan bagi orang yang membisu itu untuk berkata-kata, atau melainkan jika pembisuannya itu dengan sendirinya sama dengan kata-kata.
4. Salah nyata - Seksyen 18 Akta Kontrak mentakrifkan bahawa “salah nyata” termasuklah:-
(a)
ketegasan positif, secara yang tidak dibenarkan oleh maklumat yang diperolehi oleh yang menegaskannya mengenai sesuatu hal yang tidak benar, sungguhpun orang itu percaya bahawa hal itu adalah benar;
(b)
mana-mana pelanggaran kewajipan, yang tanpa niat menipu, membawa faedah untuk orang yang melakukan pelanggaran itu, atau kepada siapa sahaja yang menuntut melaluinya dengan mengelirukan seorang lain hingga memudarakan orang itu atau siapa saja yang menuntut melaluinya.
(c)
Menyebabkan, walaupun dengan suci hati, suatu pihak perjanjian membuat kekhilafan mengenai keadaan benda yang menjadi pokok perjanjian itu.
5. Kebolehbatalan tanpa kerelaan bebas – Seksyen 19 Akta Kontrak menyatakan bahawa di mana kerelaan untuk membuat perjanjian adalah disebabkan oleh paksaan, frod atau salah nyata maka perjanjian itu adalah kontrak yang boleh dibatalkan dengan pihak-pihak memilih untuk membatalkan kontrak, atau meneruskan pelaksanaan kontrak seolah-olah tidak wujud paksaan, frod atau salah nyata.
6. Kuasa untuk membatalkan kontrak yang didorong oleh pengaruh tak berpatutan – Seksyen 20 Akta Kontrak menyatakan bahawa di mana kerelaan untuk membuat sesuatu perjanjian adalah disebabkan oleh pengaruh tak berpatutan, maka perjanjian itu adalah suatu kontrak boleh batal atas pilihan pihak yang kerelaannya disebabkan sedemikian. Mana-mana kontrak sedemikian itu boleh dibatalkan sama ada secara mutlak, atau pun, jika pihak yang berhak mengelakkan kontrak itu telah mendapat faedah darinya, atas syarat-syarat yang difikirkan patut oleh Mahkamah.
7. Silap fakta – Seksyen 21 Akta Kontrak mentakrifkan bahawa “silap fakta” adalah di mana kedua-dua pihak perjanjian itu khilaf mengenai sesuatu fakta yang mustahak bagi perjanjian tersebut, maka perjanjian itu batal Perkara-perkara sesuatu kontrak tidak wujud dan dengan sendirinya perjanjian batal dan tidak mengikat pihak-pihak sepertimana terkandung di dalam Akta Kontrak 1950 adalah mengenai:-
(A) Perjanjian batal, jika balasan atau tujuan tak sah sebahagiannya – Seksyen 25 - Jika mana-mana bahagian sesuatu balasan untuk satu atau lebih tujuan, atau satu atau sebahagian dari satu dari beberapa balasan untuk satu tujuan, adalah tak sah di sisi undang-undang, maka perjanjian itu adalah batal.
(B) Seksyen 26 – Perjanjian tanpa balasan adalah batal kecuali – bertulis dan didaftarkan – sesuatu perjanjian yang dibuat tanpa balasan adalah batal, kecuali:-
(a) ianya dinyatakan secara bertulis dan didaftarkan menurut undang-undang yang pada masa itu berkuatkuasa untuk pendaftaran dokumen sedemikian, dan dibuat berdasarkan kasih sayang semulajadi antara pihak-pihak yang ada hubungan karib antara satu sama lain; atau
(b) ianya sesuatu janji untuk memampaskan, keseluruhan atau sebahagiannya, kepada seseorang yang telah berbuat sesuatu secara sukarela untuk pembuat janji, atau berbuat sesuatu pembuat janji boleh dipaksa di sisi undang-undang untuk membuat; atau kecuali
(c) ianya sesuatu janji, yang dibuat secara bertulis dan ditanda tangani oleh orang yang menanggungnya, atau oleh agennya, yang diberi kuasa secara am atau khusus untuk maksud itu, supaya membayar keseluruhan atau sebahagian dari sesuatu hutang, yang pembayarannya boleh dikuatkuasakan oleh sipiutang seandainya tidak ada undang-undang mengenai batasan guaman.
(C) Seksyen 27 – Perjanjian halang perkahwinan adalah batal – Setiap perjanjian yang menghalang perkahwinan seseorang, selain dari seorang yang belum dewasa pada masa remajanya, adalah batal.
(D) Seksyen 28 – Perjanjian halang tred adalah batal – Setiap perjanjian dengan mana seseorang dihalang dari menjalankan profesyen, atau tred atau apa-apa perniagaan yang sah adalah batal setakat itu dan ianya dikecualikan sekiranya seseorang yang menjual nama baik sesuatu perniagaan boleh berjanji dengan pembeli supaya tidak menjalankan perniagaan yang serupa dalam had tempatan tertentu, selama pembeli, atau mana-mana orang yang menerima hak punya nama baik itu daripadanya, menjalankan perniagaan serupa dalam had tempatan itu: Dengan syarat bahawa had sedemikian itu nampak munasabah oleh Mahkamah, dengan mengambil perhatian kepada jenis perniagaan itu.
(E) Seksyen 29 – Perjanjian halang tindakan undang-undang adalah batal – Setiap perjanjian, dengan mana sesuatu pihak perjanjian itu dihalang dari menguatkuasakan hak-haknya secara mutlak di bawah atau mengenai mana-mana kontrak, dengan tindakan lazimnya di sisi undang-undang di hadapan tribunal biasa, atau menghadkan masa dalam mana ia boleh menguatkuasakan hak-haknya, adalah batal setakat itu dan ianya dikecualikan sekiranya:-
1. Ianya tidak boleh mengetaksahkan suatu kontrak, di mana dua orang atau lebih bersetuju untuk merujukkan kepada timbangtara setiap pertikaian yang timbul antara mereka mengenai sesuatu perkara atau suatu kelas perkara, dan hanya jumlah wang yang diawardkan oleh timbangtara itu boleh didapatkan mengenai pertikaian yang dirujukkan itu.
2. Ianya juga tidak boleh mengtaksahkan mana-mana kontrak bertulis dengan mana dua orang atau lebih bersetuju merujukkan kepada timbangtara mana-mana persoalan yang telah timbul antara mereka, atau menyentuh mana-mana peruntukan undang-undang yang pada masa itu berkuatkuasa mengenai rujukan kepada timbangtara.
3. Ianya juga tidak mengtaksahkan mana-mana kontrak bertulis di antara Kerajaan dan sesiapapun mengenai hadiah biasiswa yang diberi oleh Kerajaan dan yang menetapkan bahawa budibicara yang dilakukan oleh Kerajaan menurut kontrak itu adalah muktamad dan tak ganjak dan tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana Mahkamah.
(F) Seksyen 30 – Perjanjian adalah batal kerana ketaktentuan – Perjanjian-perjanjian, yang mana maknanya tertentu atau tidak boleh ditentukan, adalah batal. Kesimpulannya pada keseluruhannya bahawa kaum-kaum kapitalis mengaut keuntungan brerlipat ganda atas kejahilan dan/atau kedaifan anda mengenai perundangan dan mengakibatkan anda bertanggungan atas kejahilan anda.
Sepertimana yang termaktub di dalam Akta Kontrak 1950, terdapat dibeberapa seksyen di dalam Atka tersebut yang boleh membatalkan atau menjadikan perjanjian dan/atau kontrak itu batal tetapi sebagai rakyat biasa anda tidak mampu untuk membiaya kos guaman dan /atau tidak berkeupayaan untuk menyangkalnya.
Oleh itu, cara yang terbaik bagi anda adalah dengan mengelak dan/atau menangguhkan pembayaran hutang yang anda bertanggungan. Adalah lumrah bahawa pihak-pihak yang menuntut hutang mengggunakan khidmat syarikat pengutip hutang.
Mereka akan menggunakan berbagai cara untuk mengutip hutang dan pada kebiasaannya mereka akan mengugut anda melalui telefon dengan berbagai ugutan, diantaranya mereka mengatakan sekiranya anda gagal membayar hutang, anda akan dipenjara, wang simpanan KWSP anda akan dikeluarkan, gaji anda akan dipotong, akaun anda di bank dibekukan, nama anda akan disenarai hitamkan, anda akan dimufliskan, rumah anda akan disita rumah dan lain-lain ugutan.
Anda dinasihatkan bahawa sekiranya anda berada dalam situasi sedemikian, anda tidak perlu melayan kerenah mereka dan anda jangan memberikan alamat rumah dan pejabat sekiranya mereka memintanya.
Adalah diingatkan bahawa tiada peruntukan undang-undang yang ada membolehkan seseorang yang gagal membayar hutang boleh dipenjarakan, wang KWSP dikeluarkan, gaji dipotong dan wang dalam akaun di bank dipotong dan dibekukan.
Jalan keluar yang boleh diambil bagi pihak yang memberi pinjaman atau hutang adalah dengan cara menyenarai hitamkan nama anda, memfuliskan anda sekiranya hutang anda melebehi RM30,000.00 dan menyita dan menjual harta alih (perabut, tv, peti ais, mesin basuh dll), selain daripada nama disenarai hitamkan, ianya dengan melalui proses pengutipan hutang yang dibenarkan oleh undang-undang.
Diperturunkan bagaimana anda patut lakukan (jika hutang tanpa cagaran seperti tanah, rumah, saham dan lain-lain cagaran) sekiranya anda berhadapan dengan situsi sebegini:-
1. Apa sepatutnya anda lakukan sekiranya anda menerima surat tuntutan daripada peguamcara pihak yang menuntut.
Anda tidak perlu gundah gulana dan anda dinasihatkan agar tidak mengambil apa-apa tindakan di atasnya. Pada kebiasaannya, peguamcara pihak yang menuntut akan menghantar dua salinan surat tuntutan iaitu, satu pos biasa dan satu lagi pos berdaftar. Isi kandungan surat itu pada lazimnya memaklumkan bahawa anda dikehendaki membayar hutang dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat itu.
2. Bilakah anda akan menerima saman daripada pihak yang menuntut hutang? Pada lazimnya, saman akan dihantar kepada anda lebih kurang dua ke tiga bulan daripada tarikh anda menerima surat tuntutan. Anda juga dinasihatkan maklumkan kepada ahli keluarga atau rakan sekiranya ada surat berdaftar di hantarkan kepada anda agar jangan menerimanya (sekiranya anda tidak berhasrat untuk mencabar tuntutan atau membela diri).
3. Apakah anda patut lakukan sekiranya penghantar notis termasauk “post man” menyerahkan surat berdaftar kepada anda?
Keluarga atau rakan maklumkan kepada penghantar notis bahawa penama sepertimana yang dicatat tidak ada atau telah berpindah. Anda hanya akan menerima saman melalui pos biasa sahaja sekiranya ada.
4. Apa patut anda lakukan sekiranya penghantar motis meninggalkan kad berdaftar agar anda mengambil surat berdaftar itu di pejabat pos?
Anda dinasihatkan agar jangan pergi ke pejabat pos untuk mengambil surat berdaftar itu (sekiranya anda tidak berhasrat untuk mencabar tuntutan atau membela diri).
5. Mahkamah manakah penuntut hutang memfailkan saman mereka?
Sekiranya tuntutan mereka melebehi RM250,000.00, writ saman akan dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi, kurang daripada RM250,000.00, saman dikeluarkan oleh Mahkamah Sesyen dan kurang daripada RM25,000.00, saman dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret.
6. Sekiranya anda menerima surat saman melalui pos biasa, apakah patut anda lakukan?
Anda dinasihatkan meneliti isi kandungan tuntutan itu, sekiranya ada unsur-unsur bahawa pengataan di dalamnya tidak benar, anda dinasihatkan mendapatkan khidmat nasihat dari peguam. Sekiranya anda tidak dapat menyangkal apa-apa pengataan di dalam tuntutan itu, anda dinasihatkan supaya mendiamkan diri.
7. Apakah tindakan Mahkamah sekiranya anda tidak hadir di Mahkamah pada tarikh yang telah ditetapkan sepertimana terkandung di dalam saman itu dan anda telah tanda tangani akuan penerimaan saman itu sebelum dari itu? Sekiranya anda tidak memasukkan pembelaan dan anda gagal hadir pada tarikh yang telah ditetapkan oleh Mahkamah, pihak Mahkamah boleh memberi penghakiman ingkar terhadap anda atas segala tuntutan yang dibuat oleh pihak yang menuntut.
8. Apakah tindakan Mahkamah sekiranya anda tidak hadir di Mahkamah pada tarikh yang telah ditetapkan sepertimana terkandung di dalam saman itu dan anda tidak menanda tangani akuan penerimaan saman sebelum dari itu?
Mahkamah tidak akan membuat penghakiman terhadap seseorang melainkan pihak plaintif (Mahkamah Tinggi) mengemukakan suatu perakuan dan suatu afidavit yang difailkan di Mahkamah bagi membuktian penyampaian yang wajar bahawa ianya telah disampaikan kepada defendan dan pihak plaintif (Mahkamah Rendah) kena membuktikan bahawa saman telah diserahkan kepada anda dan suatu afidavit penyampaian sesuatu saman mestilah menyatakan siapa saman itu telah disampaikan pada tarikh dan masa ianya disampaikan. Dalam hal penyampaian saman melalui pos berdaftar berbayar hendaklah menjadi bukti yang cukup tentang penyampaian dan tarikh penyampaiannya.
9. Apakah yang akan berlaku sekiranya anda masih tidak menanda tangani akuan penerimaan surat saman dari pihak yang menuntut?
Jangka masa penyampaian writ saman (Mahkamah Tinggi) adalah sah selama 6 bulan bermula dari tarikh pengeluarannya, jika sesuatu usaha untuk menyampaikan writ saman ke atas defendan tidak berjaya, Mahkamah boleh, melalui perintah, melanjutkan keesahan writ saman dua kali yang tidak melebehi 6 bulan pada mana-mana satu masa dan saman (Mahkamah Rendah – Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen) adalah sah selama 12 bulan bermula dari tarikh pengeluarannya, jika sesuatu saman belum lagi disampaikan kepada defendan, maka Mahkamah boleh melalui perintah melanjutkan keesahan saman itu dari masa kesemasa bagi apa-apa tempoh tidak melebehi 12 bulan pada mana-mana suatu ketika.
10. Sekiranya anda masih lagi tidak menanda tangani akuan penerimaan saman itu, apakah pada kebiasaannya tindakan yang akan diambil oleh pihak yang menuntut?
Pihak plaintif boleh memohon kepada Mahkamah minta perintah untuk penyampaian ganti dan ianya mestilah dibuat melalui notis yang disokong dengan afidavit menyatakan fakta-fakta yang berasaskan permohonan itu dibuat.
11. Apakah yang dimaksudkan saman melalui penyampaian ganti?
Penyampaian ganti adalah suatu perintah oleh Mahkamah yang memerintahkan pihak plaintif menyerahkan Saman dan Pernyataan Tuntutan kepada defendan melalui iklan di dalam akhbar. Memberi kebenaran kepada pihak yang menuntut memasukkan suatu iklan yang dimuatkan di dalam akhbar agar anda dikehendaki menghadirkan diri di Mahkamah pada masa dan tarikh yang telah ditetapkan untuk membuat pembelaan.
12. Selain penyampaian ganti dimuatkan di dalam akhbar, dimanakah notis penyampaian ganti dimuatkan?
Selain penyampaian ganti dimuatkan di dalam akhbar, notis itu juga hendaklah dipamerkan di papan kenyataan Mahkamah yang berkenaan.
13. Sekiranya anda tidak hadir pada tarikh yang ditetapkan sebagaimana yang diiklankan oleh pihak yang menuntut, apakah akan berlaku?
Sekiranya anda tidak hadir pada masa dan tarikh yang ditetapkan, pihak plaintif boleh memohon kepada Mahkamah satu penghakiman ingkar kehadiran.
14. Apakah bentuk penghakiman yang akan diberikan oleh Mahkamah?
Mahkamah akan membuat penghakiman sebagaimana yang dituntut dan diindorskan sebagaimana yang terkandung di dalam pernyataan tuntutan pihak yang menuntut.
15. Selain daripada amaun yang dituntut oleh pihak plaintif, bolehkah plaintif menuntut kos-kos sampingan yang lain?
Mahkamah pada lazimnya, selain memberikan penghakiman terhadap hutang yang dituntut, juga memberikan faedah pada kadar sebanyak 8% setahun, atau pada kadar lain yang dipersetujui sebagaimana terkandung di dalam perjanjian sekiranya ada dan dikira dari tarikh pihak yang menuntut memfailkan saman tersebut, juga dengan kos guaman bagi tindakan saman yang diambil oleh pihak yang menuntut.
16. Bilakah tarikh penghakiman atau perintah itu mula berkuatkuasa?
Sesuatu penghakiman atau perintah mula berkuatkuasa dari tarikh yang ia ditarikhkan iaitu sama pada hari ia diumumkan.
17. Setelah pihak yang menuntut mendapat penghakiman terhadap defenden, bolehkah pihak yang menuntut menguatkuasakan penghakiman terhadap amaun di atas penghakiman tersebut?
Pihak yang menuntut tidak boleh menguatkuasakan penghakiman tersebut, selanjutnya pihak yang menuntut dalam tindakan itu diwajibkan mendapatkan suatu perintah yang dimeteraikan oleh Mahkamah.
18. Pihak yang menuntut telah menyampaikan suatu notis penghakiman kepada anda, apakah remedi atau jalan keluar yang ada pada anda?
Anda, selepas menerima notis penghakiman itu boleh, dalam tempoh 30 hari memohon kepada Mahkamah untuk mengenepikan atau mengubah perintah atau penghakiman itu.
19. Apakah remedi yang ada bagi pihak yang menuntut untuk menguatkuasakan penghakiman atau perintah itu?
Pihak yang menuntut boleh kuatkuasakan sesuatu penghakiman atau perintah melalui suatu writ pelaksanaan.
20. Apakah yang dikatakan writ pelaksanaan? Writ pelaksanaan dalam takrif ini termasuklah writ penyitaan dan penjualan, writ pemilikan dan writ penghantarserahan.
21. Apakah syarat-syarat untuk mendapatkan writ pelaksanaan bagi menguatkuasakan penghakiman atau perintah?
Sesuatu writ pelasanaan bagi menguatkuasakan penghakiman atau perintah tidak boleh dikeluarkan tanpa kebenaran Mahkamah dalam hal-hal:-
(a) jika enam tahun atau lebih telah berlalu sejak tarikh penghakiman atau perintah itu;
(b) jika apa-apa perubahan telah berlaku, sama ada disebabkan oleh kematian, pada pihak-pihak yang berhak atau yang boleh dikenakan pelaksanaan di bawah penghakiman atau perintah itu; (
c) jika penghakiman atau perintah itu ialah terhadap aset si mati yang berpindah ke tangan wasi-wasi atau pentadbir-pentadbirnya selepas tarikh penghakiman atau perintah itu, dan diminta dikeluarkan pelaksanaan terhadap aset-aset itu;
(d) jika di bawah penghakiman atau perintah itu mana-mana orang adalah berhak mendapat relif tertakluk kepada pemenuhan apa-apa syarat yang dikatakan telah dipenuhi; (
e) jika mana-mana harta alih yang diminta supaya disita dibawah writ pelaksanaan berada di dalam tangan seorang penerima yang dilantik oleh Mahkamah.
22. Apakah syarat-syarat yang diperlukan oleh pihak yang menuntut membuat permohonan minta kebenaran untuk mengeluarkan writ pelaksanaan?
Sesuatu permohonan minta kebenaran untuk mengeluarkan writ pelaksanaan mestilah dibuat melalui notis dan mestilah disokong dengan suatu afidavit, iaitu:-
(a) yang mengenalpasti penghakiman atau perintah yang dimaksudkan oleh permohonan itu dan, jika penghakiman atau perintah itu ialah bagi pembayaran wang, menyatakan amaun yang asalnya kena dibayar di bawahnya pada tarikh permohonan;
(b) yang menyatakan (jika terdapat kelengahan), sebab-sebab kelengahan dalam menguatkuasakan penghakiman atau perintah itu;
(c) yang menyatakan (ada perubahan disebabkan kematian), perubahan yang telah berlaku pada pihak-pihak yang berhak atau yang boleh dikenakan pelaksanaan sejak tarikh penghakiman atau perintah itu;
(d) yang mernyatakan (aset simati telah berpindah ke tangan wasi-wasi atau mana-mana orang yang mendapat relif), bahawa tuntutan untuk menunaikan paenghakiman atau perintah itu telah dibuat terhadap orang yang bertanggungan untuk menunaikannya dan bahawa dia telah enggan atau gagal berbuat demikian;
(e) yang memberi apa-apa maklumat lain sebagaimana yang perlu untuk memuaskan hati Mahkamah bahawa pemohon adalah berhak bagi meneruskan untuk melaksanakan penghakiman atau perintah yang berkenaan dan bahawa orang yang terhadapnya pelaksanaan itu diminta dikeluarkan boleh dikenakan pelaksanaan atasnya.
23. Apakah yang dimaksudkan writ pelaksanaan itu?
Writ pelaksanaan pada lazimnya ditujukan kepada harta alih yang disita dan akan dijual oleh bailiff.
24. Bilakah writ pelaksanaan boleh dikeluarkan dan siapakah yang berhak membuat permintaan mendapatkan writ penyitaan dan penjualan?
Writ pelaksanaan itu sah apabila ia menganduingi tarikh hari ia dikeluarkan dan demeteraikan oleh seorang Pegawai Pendaftaran dan permintaan itu mestilah ditandatangani oleh peguamcara pihak yang menuntut, olehnya, sekiranya orang itu bertindak secara sendiri.
25. Berapa lama kah keesahan writ pelaksanaan itu dan bolehkah masa writ pelaksanaan itu dilanjutkan?
Sesuatu writ pelaksanaan adalah sah mula-mulanya selama 12 bulan dari tarikh pengeluaran dan Mahkamah boleh melanjutkan writ itu dari masa kesemasa bagi tempoh 12 bulan pada bila-bila masa bermula hari perintah itu dibuat, jika suatu permohonan minta perlanjutan dibuat kepada Mahkamah sebelum hari ianya tamat.
26. Bolehkah pihak yang menuntut melevikan apa-apa kos tambahaan di atas perihal pelaksanaan?
Dalam tiap-tiap pelaksanaan, pihak yang menuntut berhak kepada pelaksanaan boleh melevikan komisyen, fee dan perbelanjaan pelaksanaan melampaui dan melebehi jumlah wang yang diperolehi.
27. Bolehkah pihak yang menuntut menguatkuasakan writ pelaksanaan setelah writ pelaksanaan dikeluarkan?
Pihak yang menuntut tidak boleh menguatkuasakan pelaksanaan melainkan pihak yang menuntut mendepositkan di Pejabat Pendaftaran (Bailif”) sejumlah wang yang mencukupi bagi membayar kos pelaksanaan itu.
28. Bolehkah masa pelaksanaan itu dilaksanakan pada bila-bila masa?
Writ pelaksanaan hanya boleh dilaksanakan di antara jam 9 pagi dan 4 petang, melainkan diperintahkan oleh Mahkamah.
29. Bolehkah bailif menyita harta alih defendan tanpa memberi notis? Bailif mestilah memberi kepada anda suatu notis penyitaan dan di dalamnya menyatakan anggaran nilai harta itu. Sekiranya anda tidak dapat membayar amaun yang dinyatakan dengan kos pelaksanaan dalam masa 7 hari dari tarikh notis itu, maka harta itu akan dijual melalui lelong awam pada tarikh yang ditetapkan oleh bailif.
30. Bolehkah bailif mengalihkan apa-apa harta yang disita?
Bailif boleh mengalihkan apa-apa harta alih yang disita dengan syarat dia hendaklah mengeluarkan satu inventori tentang harta yang dialihkan itu.
31. Apakah syarat-syarat bailif yang menyita harta dan mengalihkannya?
Bailif mestilah menyerahkan notis penyitaan, pengalihan dan inventori melalui:
(a) diserahkan ke diri (kepada anda),
(b) dihantar kepada anda melalui pos ketempat kediaman anda dan
(c) ditinggalkan atau dihantarkan melalui pos kepada alamat harta itu disita.
32. Pada lazimnya adakah pihak yang menuntut memfailkan writ pelaksanaan menyita harta alih anda sekiranya anda gagal membayar hutang yang penghakiman atau perintah telah diberi?
Pada lazimnya, pihak yang menuntut jarang memfailkan writ pelaksanaan menyita kerana pada kes-kes yang lampau di mana pihak anda gagal membayar hutang secara ansuran bulanan yang telah persetujui dan diperintahkan. Bagi mereka yang berpengtahuan, apabila mereka didatangi oleh bailiff untuk menyita, mereka memaklumkan kepada bailiff bahawa harta alih yang disita itu bukan milik anda (defendan) dan ianya adalah dimiliki oleh suami, isteri, ibu, bapa atau kepada sesiapa sahaja dan tindakan mereka jarang berkesan.
33. Apakah amalan yang digunakan oleh pihak yang menuntut sekiranya anda gagal membayar hutang yang penghakiman atau perintah telah diberi?
Amalan yang digunakan oleh pihak yang menuntut adalah dengan memfailkan Saman Penghutang Penghakiman di mana, ianya menghendaki anda menghadirkan diri di Mahkamah berkenaan keupayaan anda membayar hutang yang telah diperintahkan.
34. Sekiranya anda menerima Saman Penghutang Penghakiman secara serahan ke diri, boleh kah anda tidak hadir di Mahkamah pada hari yang telah ditetapkan?
Anda dinasihatkan agar menghadirkan diri di Mahkamah atau melantik peguamcara bagi pihak anda dan sekiranya anda atau peguamcara gagal hadir pada hari yang telah ditetapkan, maka pihak yang menuntut boleh memohon perintah untuk menangkap anda.
35. Apakah tujuan pihak yang menuntut memohon perintah untuk menangkap anda?
Tujuannya supaya anda tunjuk sebab kenapa anda ingkar hadir di Mahkamah pada tarikh yang telah ditetapkan dan dengan itu anda telah menghina Mahkamah.
36. Apakah tindakan selanjutnya yang boleh dibuat oleh pihak yang menuntut?
Pihak yang menuntut boleh memohon suatu pernitah pengkomitan.
37. Apakah yang dikatakan perintah pengkomitan?
Perintah pengkomitan adalah bagi peluang kepada anda menunjuk sebab kenapa anda menghina Mahkamah kerana anda tidak menghadirkan diri di Mahkamah setelah Saman Penghutang Penghakiman telah diserahkan kepada anda.
38. Apakah akan berlaku sekiranya anda gagal menghadirkan diri sepertimana diarahkan?
P
ihak yang menuntut boleh memohon kepada Mahkamah supaya anda di penjarakan kerana anda telah menghina Mahkamah. Anda perlu ingat bahawa anda boleh dipenjarakan bukan kerana gagal membayar hutang yang telah diperintahkan tetapi anda telah menghina Mahkamah.
39. Apakah yang dikatakan Saman Penghutang Penghakiman?
Saman Penghutang Penghakiman adalah bertujuan memeriksa kemampuan anda membayar hutang yang penghakiman telah pun diberikan memihak kepada pihak yang menuntut.
40. Boleh kah anda memohon pembayaran hutang di buat secara ansuran? Anda boleh memohon kepada Mahkamah suatu penghakiman atau perintah dibuat bagi pembayaran secara ansuran.
41. Berapakah amaun yang patut anda bayar secara ansuran?
Anda dinasihatkan supaya memaklumkan kepada Mahkamah amaun yang paling minima yang mampu anda bayar setiap bulan.
42. Apakah ukuran yang digunapakai oleh Mahkamah berapakah amaun yang anda patut bayar pada setiap bulan?
Ukuran yang digunapakai oleh Mahkamah adalah berdasarkan kepada kemampuan anda iaitu, anda dikehendaki membuat pengakuan berkenaan dengan:-
(a) Pekerjaan/perniagaan anda dahulu dan sekarang (jika ada);
(b) Jumlah pendapatan bulanan anda dahulu dan sekarang (jika ada);
(c) Berapa ramai orang di bawah tanggungan anda; (
d) Sewa bulanan anda dahulu dan sekarang (sekiranya ada perbezaan);
(e) Perbelanjaan bulanan anda seperti bayaran api, air, perbelanjaan anak-anak yang bersekolah, tambang pergi balik kerja, perbelanjaan sara hidup keluarga dan lain-lain jika perlu.
43. Pada lazimnya berapa kah amaun yang akan ditetapkan oleh Mahkamah bagi pembayaran ansuran bulanan itu?
Mahkamah setelah meneliti tanggungan dan perbelanjaan anda akan menetapkan amaun yang munasabah bagi pembayaran ansuran bulanan itu.
44. Bilakah ansuran bulanan itu dibayar?
Mahkamah akan menetapkan bila ansuran bulanan itu perlu dibayar dan sekiranya tiada arahan sedemikian, anda perlu membayar pada hari pertama bulan beikutnya dan tiap-tiap turutannya hendaklah dibayar pada hari pertama dalam setiap bulan berturutan.
45.
Setelah ansuran bulanan yang pertama dibayar dan anda tidak membayar pada bulan berikutnya, apa akan berlaku?
Pihak yang menuntut boleh memohon kepada Mahkamah melalui suatu notis permohonan yang disokong dengan suatu afidavit minta suatu perintah yang menyatakan wang belum dibayar itu dibayar secara pukal, atau ansuran yang lebih kecil atau besar daripada ansuran yang diperintahkan terdahulu.
46. Apakah yang akan berlaku seteusnya?
Pihak yang menuntut mestilah menyerahkan suatu notis penghakiman dan diserahkan kepada anda secara ke diri, sekurang-kurangnya 7 hari sebelum tarikh yang ditetapkan bagi pengendaran.
47. Pada hari pendengaran, apakah keputusan yang akan di buat oleh Mahkamah? Mahkamah boleh membuat suatu perintah pengkomitan atau mengubahkan perintah ansuran bulanan sebagagaimana yang difikirkan adil.
48. Bilakah suatu perintah pengkomitan dibuat dan apakah kemungkinan yang akan dibuat oleh Mahkamah?
Mahkamah boleh mengarahkan supaya pelaksanaan perintah (membayar secara ansuran) digantung untuk membolehkan anda membayar amaun (secara ansuran) yang berkenaan dengannya perintah itu dibuat.
49. Berapa lama kah anggaran masa bagi pihak yang menuntut untuk mendapat penghakiman yang dituntut sehingga pelaksanaan?
Pada lazimnya, daripada daripada tarikh pihak yang menuntut memfailkan saman sehingga mendapat panghakiman atau perintash dan seterusnya pelaksanaan, ianya memakan masa diantara 1 hingga 2 tahun.
50. Sekiranya penghakiman atau perintah telah dibuat berkenaan hutang melebehi RM30,000.00, apakah pada lazimnya langkah-langkah tindakan yang akan dibuat oleh pihak yang menuntut?
Pada lazimnya, pihak yang menuntut akan memfailkan suatu notis permintaan mengeluarkan notis kebangkrapan terhadap anda.
51. Selepas pihak yang menuntut memfailkan notis kebangkrapan, adakah perlu dia menyampaikan notis itu kepada anda?
Pihak yang menuntut hendaklah menyampaikan notis kebangkrapan kepada anda dan penyampaian itu mestilah dibuktikan dan pihak yang menuntut dikehendaki memfailkan suatu afidavit mengenai penyampaian notis kebangkrapan kepada anda secara ke diri.
52. Sekiranya anda tidak menerima notis kebangkrapan secara ke diri, apakah tindakan yang boleh dilakukan oleh pihak yang menuntut?
Pihak yang menuntut boleh membuat permohonan penyampaian ganti bagi notis kebangkrapan dan notis kebangkrapan itu akan disampaikan kepada anda melalui menampalkan salinan notis di papan notis Mahkamah berkenan dan penyiaran notis itu juga akan diiklan di dalam akhbar.