Ahad, 18 Julai 2010

Kenaikkan harga minyak, gula dan Gas : Rakyat Ditipu! Kroni di dahulukan!

Kenaikkan harga minyak, gula dan Gas : Rakyat Ditipu! Kroni di dahulukan!


Saturday, 17 July 2010

Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) mengecam tindakan Kerajaan Malaysia meningkatkan harga minyak petrol diesel, petroleum gas cair dan gula yang berkuatkuasa mulai hari ini. Sudahlah harga makanan sedang melambung tinggi, sekarang harga petrol dan yang lain pula dinaikkan. Bukankah ini akan menyebabkan harga makanan naik lagi dan kos hidup rakyat meningkat? Tindakan PM Dato Seri Najib yang tidak bertanggungjawab ini memang menunjukkan bahawa beliau adalah seorang PM yang gagal untuk melindungi kebajikan rakyat.







Rakyat dibodohkan! Kroni Didahulukan!



Alasan kerajaan adalah, ini langkah pertama Program Rasionalisasi Subsidi. Menurut PM penyelarasan semula harga barang itu membolehkan kerajaan mengurangkan perbelanjaannya melebihi RM750 juta tahun ini dan mengimbangi defisit kewangan negara. kerajaan tidak mampu membayar subsidi dan sebaliknya duit subsidi akan digunakan untuk pembangunan. Inilah yang dikatakan setiap kali harga petrol dinaikkan. Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan rancangan pemotongan subsidi ini sejak tahun 2008 lagi atas alasan untuk menstrukturkan semula pemberian subsidi agar ia lebih memihak kepada golongan rakyat yang lebih memerlukannya. Sehingga kini, rakyat tidak pernah menikmati apa yang kerajaan janjikan.Manakala, setiap kali kerajaan hanya umumkan kenaikan harga barang. Persoalannya penyelarasan subsidi ini untuk siapa? Rakyat ke atau Kroni BN?



Kenaikan Harga Minyak dan Gula yang Berterusan walaupun Malaysia adalah Pengeluar!







Pada 2006 apabila harga petrol dinaikkan sebanyak 30 sen, pihak Kerajaan mendakwa sebanyak 4 billion akan dapat dijimatkan dan pengangkutan awam akan dipertingkatkan. Kini, setelah 4 tahun, kita tidak nampak apa-apa perubahan dan tiada sebarang pembaikan dalam pengangkutan awam negara. Manakala, Kenaikan harga gula sebanyak 28% sejak awal tahun ini (kenaikan 20 sen pada 1 Januari 2010, diikuti kenaikan 20 sen berikutnya pada 16 Julai 2010) sudah tentu akan mempunyai kesan kepada harga makanan. Kesan berganda daripada kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula ini akan memberikan tekanan kepada golongan berpendapatan rendah di bawah RM2,000 sebulan







Jika harga petrol dan gula naik, semua harga barangan dan perkhidmatan akan naik. Kos hidup rakyat akan naik. Apa yang akan berlaku kepada rakyat yang kebanyakkannya berpendapatan rendah? kos hidup rakyat akan naik 100% dengan kenaikkan ini akibat kesan rantaian (chain reaction) apabila harga minyak naik.







Persoalannya di sini, kita negara pengeluar petrol, dalam pada itu kenapa rakyat Malaysia harus bayar harga pasaran dan bukannya harga yang lebih rendah untuk petrol. Bukankah petrol adalah sumber negara dan sumber negara adalah kepunyaan rakyat dan bukannya syarikat swasta. Pihak Kerajaan asyik mengatakan harga minyak di negara kita yang paling rendah di Asia Tenggara. Ini adalah satu penipuan. Rakyat Brunei membayar harga minyak yang lebih rendah kerana negara itu adalah pengeluar minyak. Dan kenapa ambil Singapura dan Thailand sebagai perbandingan memandangkan negara tersebut bukan pengeluar minyak.







Satu lagi persoalan, apakah yang berlaku dengan untung Petronas ? Keuntungan ini digunakan untuk apa ? Kenapa untungnya tidak boleh digunakan untuk subsidi petrol untuk rakyat Malaysia? JERIT mencabar pihak Kerajaan supaya menunjukkan akaun Petronas kepada rakyat Malaysia. Ini selaras dengan janji Perdana Menteri yang mahukan sebuah kerajaan yang telus.



Hapuskan Pembaziran! Bukan Membebankan Rakyat!







Sasaran penjimatan sebanyak RM750 juta yang diumumkan Pejabat Perdana Menteri adalah sedikit berbanding dengan keborosan dan pembaziran yang berlaku akibat kelalaian Barisan Nasional. Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa perbelanjaan Jabatan Perdana Menteri telah mencecah RM3.8 billion pada tahun 2009 dan dijangka mengatasi peruntukan RM3.9 billion bagi tahun 2010. Ini termasuklah perbelanjaan Sekretariat Mantan Perdana Menteri dan Sekretariat Permata yang dinaungi oleh isteri Perdana Menteri. Selain daripada itu, pembinaan istana yang baru berjumlah berbillion ringgit juga membawa kepada pembasiran duit rakyat?







Membebankan rakyat atas alasan mengurangkan defisit dan menggunakan penjimatan untuk menampung keborosan kerajaan seperti ini perlu dihentikan segera. Sebelum ini pun, kerajaan telah menggunakan alasan mengurangkan defisit apabila menaikkan harga minyak dan keperluan asas. Tindakan ini sedikit pun tidak membantu menyelesaikan masalah defisit negara, malah ia makin meningkat.







Kerajaan yang tidak mampu melindungi kebajikan Rakyat harus dijatuhkan!



JERIT ingin mengingatkan kerajaan Malaysia bahawa, rakyat tidak harus ditipu lagi! Sekiranya kerajaan BN dibawah PM Najib tidak mampu melindungi rakyat maka ianya harus dijatuhkan dengan segera. Kerajaan BN langsung tidak mempunyai kemahiran untuk memerintah Negara dengan lebih telus dan bertanggungjawab. Mereka adalah perosak Negara yang telah memerintah Negara atas dasar berkhidmat untuk kapitalis dan kroni dengan menipu dan memangsakan rakyat!







Apabila rakyat tuntut akta gaji minima , kerajaan kata ”tak boleh nanti inflasi naik”. Tetapi apabila kapitalis tuntut harga petrol naik, kerajaan kata boleh, tidak apa sebab inflasi naik sedikit sahaja. Jelas di sini kerajaan ini hanya pentingkan kapitalis dan bukan rakyat jelata !







Kuasa rakyat harus diperkasakan untuk menuntut satu kerajaan yang berjiwa rakyat, untyuk menjatuhkan kerajaan BN ini. Jom kita bantah dan protes kenaikan harga minyak, gula, dan gas untuk menunjukkan kuasa rakyat adalah kuasa penentu!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan